Pages

Tuesday, July 27, 2010

114. Hitam Separuh Badan

Mat Prai hilang dari pandangan mata dicelah-celah liku jalan. Saya jadi resah dan terus menyalahkan diri sendiri, kerana terburu-buru mematuhi cakap Pak Imam. Kalau ikut Mat Prai bukankah bagus. Boleh duduk rehat dirumahnya, boleh dengar radio.

"Eh, apa yang kau menungkan lagi."

Datuk tepuk bahu kanan saya. Cepat-cepat saya bangun dari duduk bertenggek di anak tangga pondok durian. Pak Imam sudah pun menyarungkan capal ke kaki dan melangkah beberapa tapak ke depan lalu berhenti di pohon langsat yang condong.

"Saya malas nak pergi tuk."

"Kenapa pula."

"Belum mandi, belum gosok gigi dah nak merayau ke rumah orang," saya melahirkan protes dalam keadaan yang cemas.

Datuk menatap wajah saya sejenak. Dia pamerkan air muka kurang senang terhadap saya. Datuk jegilkan biji mata, cepat-cepat saya buat muka kesian.

"Kalau macam tu, kenapa kamu tak ikut Mat tadi? Budak macam ragam! Usah nak banyak karenah, ikut saja kemana aku pergi," aduh! nada suara datuk cukup keras. Telinga Pak Imam dapat menangkap dengan apa yang diluahkannya.

Ketika itu juga saya terasa dahi diraupi oleh peluh-peluh halus.

"Mandi di rumah saya," Pak Imam menyelesaikan masalah.

"Budak ni, kadang-kadang mengada-ngada sikit, kita nak berikan dia pengalaman," datuk terus merungut. Pak Imam anggukkan kepala. Saya tidak dapat berkata apa-apa.

"Mari," kata Pak Imam.

Saya dan datuk pun mengekori langkah Pak Imam. Matahari pagi yang memancar memanah ke arah air embun di hujung dedaun. Nampak berkilau-kilau. Nyanyian unggas di hujung ranting amat rancak sekali. Dan rindu saya pada kampung laman terus membara. Saya terkenangkan nenek yang kasih sayangnya melimpah ruah. Saya jadi hiba dan hampir mahu menangis kerana rindu.

Saya menarik nafas dalam-dalam sambil menyingkirkan rasa hiba di hati. Saya teringat cakap nenek. Katanya, saya harus menjadi lelaki remaja yang keras hati, tabah dan sanggup menghadapi apa saja rintangan. Keras semangat dan kedekut dengan air mata.

"Ya, aku mahu jadi orang gagah."

Saya menjerit sambil menendang rumput lalang dan pokok-pokok renik di kiri kanan denai. Datuk dan Pak Imam berhenti melangkah. Mereka terkejut dengan tindak tanduk saya.

"Aduhhhhhhhhhh!"

Saya menjerit dan terus duduk atas bumi sambil mengangkat kaki kanan. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Datuk dan Pak Imam terus mengelilingi saya.

"Kenapa Tamar," soal datuk.

"Saya tersepakkan tunggul buruk, tuk."

Datuk menghela nafas panjang-panjang sambil gelengkan kepala. Sepatu getah saya, jenis Fong Keong terus dibukanya. Dua tiga kali datuk urut bahagian hujung jari kaki yang nampak kemerah-merahan.

Rasa sengal dan sakit terasa kurang dan akhirnya tidak terasa apa-apa. Saya sarungkan kembali sepatu getah warna kuning di kaki. Saya dongakkan kepala ke langit, melihat awan yang menipis dalam sinaran matahari pagi yang garang.
Bila saya berdiri, datuk dan Pak Imam ketawakan saya. Mereka melihat tunggul tembusu yang saya sepak. Bahagian yang reput jatuh atas rerumput selaput alam.

"Kenapa kamu ni Tamar? Dah gilakah?" datuk rening muka saya, "Menjerit macam orang
hilang akal, kemudian sepak tunggul," tambah datuk lagi.

"Kenapa Tamar, kau tak suka ikut kami?" tanya Pak Imam dengan nada suara yang lembut. Terlalu berat rasanya mahu menjawab pertanyaan tersebut.

Saya kira, tidak ada manusia yang mahu mengakui ketololannya secara terbuka. Jadi, memang wajar saya merahsiakan apa yang ada dalam hati. Tetapi, bersikap terus terang dan mengakui kebodohan sendiri, adalah sifat orang yang berjiwa mulia. Saya mengigit bibir dan membuat keputusan untuk jadi manusia yang berhemat tinggi, berjiwa mulia dan besar.

"Saya teringatkan cakap nenek yang mahukan saya jadi lelaki gagah dan berani," kata saya membuka rahsia hati.

"Jadi kamu pun menjerit dan tendang tunggul," pintas Pak Imam.

"Saya tak tendang tunggul, saya tendang lalang dan pokok-pokok kecil, entah macam mana saya tersepakkan tunggul," saya pertahankan pendirian.

"Kamu ni betullah, budak banggang," kata datuk yang diakhiri dengan ketawa. Dan ketawa yang berhenti itu dilanjutkan oleh Pak Imam untuk beberapa saat. Saya malu sendiri. Kulit muka terasa tebal.

"Nak jadi orang gagah dan berani, dada dan otak mesti diisi dengan ilmu dan pengalaman. Sudahlah, jalanlah cepat-cepat," datuk mengeluarkan perintah. Perjalanan yang terbantut disambung kembali. Celah ketiak dan celah kangkang saya terasa bergetah. Melangkah pun terasa tidak selesa. Beberapa orang kampung yang berselisih dengan Pak Imam di lorong sempit itu terus anggukkan kepala sambil mengucapkan salam.

RANTING

Akhirnya, kami sampai ke rumah Pak Imam. Datuk terus menuju ke arah rimbunan pepokok di bahagian belakang rumah. Datuk patahkan salah satu ranting dari rimbunan pokok itu.

"Untuk kamu Tamar."

Datuk campakkan ranting yang sudah dipatahkan kepada saya. Dengan tenang saya menyambarnya. Panjangnya lebih kurang enam inci.

"Sugikan gigi kamu," tutur datuk lagi.

Tanpa membuang masa, hujung ranting yang keras itu saya gosokkan ke gigi. Apa yang saya lakukan itu, dilakukan juga oleh Pak Imam dan datuk.

"Saya menyebutnya pokok sugi," Pak Imam memulakan cerita tentang pokok yang merimbun itu, "Seorang kawan yang pulang dari tanah suci memberi saya akar pokok itu, saya campakkan di situ. Entah macam mana terus tumbuh dan hidup subur," lanjut Pak Imam dengan rasa bangga.

"Boleh saya ambil akarnya sikit nak buat benih, saya nak tanam di belakang rumah," datuk buat wajah selamba.

"Boleh, apa salahnya."

"Khasiatnya cukup banyak, gigi tahan lama dan nampak putih. Tak mudah diserang sakit dan bengkak gusi," bagaikan penjual ubat di kaki lima datuk memberikan penerangan pada Pak Imam.

"Tak tahu pula saya pokok tu ada khasiatnya. Nampaknya mulai hari ini, saya terpaksa gosok gigi dengan dahan pokok tu," Pak Imam tersenyum ke arah datuk.
Pak Imam mempersilakan saya dan datuk duduk dianjung rumahnya. Kata datuk, bentuk rumah orang Melayu di sekitar Balik Pulau, mirip dengan bentuk rumah orang Melayu di Jambi Sumatera. Pak Imam tidak merasa terkejut dengan pendapat datuk itu. Alasannya, sebahagian dari penduduk Balik Pulau ada yang berasal dari Acheh, Tanjung Balai, Asahan dan daerah Deli-Medan. Pak Imam mendakwa yang dirinya berasal dari Priaman-Sumatera Barat.

"Kita makan dulu, lepas tu baru pergi ke rumah sahabat Suhaimi Keraba," Pak Imam
renung muka saya.

"Kalau begitu, biarlah cucu saya mandi dulu."

"Silakan, kain basahan ada di perigi."

Saya terus menuju ke perigi yang dindingnya dibuat dari atap rumbia. Airnya terasa cukup sejuk sekali. Kerana perigi itu dibuat tidak jauh dari pokok manggis, saya berkesempatan melihat beberapa ekor tupai berlari di dahan manggis.

Waktu keluar dari perigi, saya terlihat kelibat gadis berselubung kain batik. Dalam kesempatan yang terhad itu, tumit kakinya yang putih kemerahan menjadi sasaran biji mata jalang saya. Penuh yakin saya mengatakan gadis itu berkulit putih merah. Bentuk tubuhnya yang tinggi lampai membuat saya kepingin melihat wajahnya.

Otak jahat saya mengarahkan sepasang kaki supaya pergi ke arah belakang perigi. Kemudian melangkah secepat yang boleh menuju ke arah pokok amra (kedondong) dari situ memintas ke depan gadis yang berselubung kain batik itu.

Apa yang terpeta dalam otak saya laksanakan. Mata juga mesti cekap mengawasi kalau-kalau ada orang lain mengintip pergerakan. Saya bergerak macam kucing memburu burung. Saya pintas depan gadis berselubung kain batik.

"Ohhh ooppp..."

Si gadis terkejut, kain selubung atas kepala segera jatuh atas bahu. Saya tatap gadis yang wajahnya mirip seniwati Sarimah. Bibirnya merah, macam sirap. Tetapi, jelingannya cukup tajam. Aduh! sungguh mempersonakan.

"Kamu siapa?" tanyanya garang dan kelihatan seperti bersedia membuka buah silat.

Saya tergamam.

"Dari rumah Pak Imam," tutur saya tidak tentu arah tetapi, masih menjual senyum tak malu. Si gadis berkulit putih tatap batang tubuh saya, dari atas ke bawah dari bawah ke atas. Memang dasar tak malu, saya terus tersenggih.

"Agaknya, kita ni adik-beradik," saya mula jual ubat temberang, macam lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan Saadiah dalam filem Musang Berjanggut.

"Dari mana?" risiknya lagi.

"Dari Perak."

"Kami tak ada saudara-mara di Perak, saudara-mara kami banyak di Johor, Melaka dan Kuala Pilah," si gadis juihkan bibirnya. Saya jadi serba salah, temberang saya salah letak.

CANTIK

Buat beberapa saat kami tidak bercakap. Saling berpandangang dan sesungguhnya saya terpukau dengan sepasang anak mata si gadis yang lembut dan bening bercahaya. Engkau terlalu cantik, timbul komentar di sudut hati saya.

"Siapa nama?" tanya saya.

"Cakap dulu, siapa nama awak."

"Awaklah cakap dulu," desaknya lagi.

"Tak boleh, awak cakap dulu," balas saya.

Si gadis geleng kepala dan bersedia mahu melangkah meninggalkan saya. Tidak ada jalan lain untuk saya melainkan mengaku kalah secara terhormat di depan gadis yang berjaya menguasai hati dan perasaan saya.

"Nama saya Tamar," kata saya bangga, penuh yakin.

"Macam nama buah dari negeri Arab yang selalu dimakan di bulan puasa," hati saya jadi panas menerima sindiran nakal. Malu rasanya, saya tarik batang hidung yang mancung kemerahan itu.

"Pranggggggg."

Terdengar bunyi piring jatuh dari arah dapur rumah Pak Imam. Bagaikan kilat saya melompat dan lari menuju ke arah perigi. Dari situ, saya terus menuju ke anjung rumah. Saya jadi terlupa tentang gadis di depan saya.
Apa yang saya fikirkan ialah menyorokkan diri agar rahsia peribadi saya tidak diketahui oleh orang lain. Kalau rahsia terbongkar, datuk turut sama merasa malu.

"Lama benar kau mandi, aku naik jemu menanti," datuk menyambut kedatangan saya di kepala tangga. Wajahnya masam sekali. Saya tidak bersuara hanya melihat ke arah Pak Imam yang berdiri di pintu anjung. Tanpa mengucapkan sesuatu, datuk melangkah menuju ke perigi. Saya terus naik ke anjung rumah. Duduk berdepan dengan Pak Imam.

Setiap kali mata saya bertembung dengan wajah Pak Imam hati saya berdebar. Saya merasakan yang Pak Imam mengetahui apa yang telah saya lakukan. Bagi menghilangkan rasa serba salah dan tidak selesa itu, saya mengambil keputusan merenung ke halaman rumah. Melihat pepohon pisang memagari sempadan halaman. Secara diam-diam saya menyesali ketelanjuran yang telah saya lakukan. Perasaan yang resah itu akhirnya bertukar dengan keriangan, dari jauh saya lihat Mat Prai terbongkok-bongkok mengayuh basikal.

"Assalamualaikum..." jerit Mat Prai sambil terjun dari basikal. Salamnya segera dijawab oleh Pak Imam. Mat Prai sandarkan basikal dekat pangkal pokok pinang dara. Dengan membimbit beg rotan, dia menuju ke kaki tangga.

"Naiklah Mat, beg siapa yang kamu bawa tu?" tanya Pak Imam.

"Beg Ayah Alang, saya fikir tentu dia nak tukar baju," Mat Prai letakkan beg rotan empat segi atas lantai, "Tuk kamu ke mana Tamar?" sambung Mat Prai, matanya menatap wajah saya.

"Mandi di perigi."

"Tak apa aku tunggu dia," Mat Prai sandarkan belakang pada jenang pintu. Pak Imam masuk ke ruang tengah dan terus menuju ke dapur. Pada hemat saya, dia melihat air kopi dan kuih-muih yang bakal dihidangkan pada saya dan datuk.

Saya amat gembira atas kedatangan Mat Prai. Saya boleh tukar baju dan seluar. Tetapi, saya meluat mahu merenung wajahnya, Saya tidak ghairah mahu melayani percakapannya. Telinga dan otak saya tumpukan pada bunyi di dapur Pak Imam. Saya masih mengharapkan, dapat mendengar suara gadis yang wajahnya mirip Sarimah.

"Ha, dah lama kamu datang? Apa halnya?"

Itu yang diajukan oleh datuk dari kaki tangga, sebaik saja terlihat batang hidung Mat Prai. Saya tersentak dari khayalan yang tidak bertepi. Saya menerpa ke muka pintu dan pada saat yang sama Pak Imam menatang air kopi dan kuih.

"Saya bawakan beg pakaian Ayah Alang, saya fikir tentu nak tukar pakaian."

"Ha, itu dah cukup baik," datuk terus panjat tangga. Membuka beg rotan. Baju dan seluar saya dikeluarkan. Saya menghadapi masalah baru, di mana saya mahu menukarkan pakaian.

"Kamu masuk ke bilik sembahyang, tukar pakaian," Pak Imam mengarahkan jari telunjuknya ke arah bilik yang terletak di rusuk kiri rumah, berdepan dengan pintu menghala ke dapur. Ini peluang baik, gunakan kesempatan masa masuk ke bilik, jeling ke arah dapur. Fikir saya dalam hati.

Saya meluru ke bilik, saya jeling ke dapur. Apa yang saya lihat ialah isteri Pak Imam mendermakan senyuman lesu untuk saya. Senyuman itu tidak saya balas. Dengan rasa kesal yang amat sangat saya pun menukarkan pakaian. Lepas saya, datuk pula masuk tukar pakaian. Bila semuanya selesai, kami pun manghadapi makanan, saya lihat jam di dinding sudah hampir pukul sepuluh pagi.

"Saya bawa balik beg pakaian Ayah Alang ke rumah saya," Mat Prai terus memasukkan pakaian saya dan datuk yang sudah digunakan ke dalam beg rotan. Datuk anggukkan kepala, setuju dengan cadangan Mat Prai itu.

"Kamu tak mahu pergi ke Kampung Terang," Pak Imam tatap batang hidung Mat Prai yang sudah pun mengheret beg pakaian datuk ke bendul. Kemudian terus turun dan meletakkan beg pakaian atas lantai pelantar basikal tua.

"Minta maaflah, saya tak dapat serta. Saya nak pulangkan basikal jiran yang saya pinjam," tutur Mat Prai. Dia mula tolak basikal tua ke arah jalan besar. Datuk dan Pak Imam tidak berkata apa-apa. Mereka seolah-olah merestui dengan apa yang diluahkan oleh Mat Prai. Selamat jalan Mat Prai, bisik batin saya.

RUMAH

Ketika datuk dan saya menanti Pak Imam turun dari rumah hati saya tertanya-tanya, bagaimana mahu pergi ke rumah sahabat Suhaimi Keraba? Kalau berjalan kaki, saya sudah tidak sanggup. Barangkali dengan bas, saya mendamaikan perasaan saya sendiri. Dalam saat-saat saya berfikir itu, tanpa disedari, Pak Imam sudah pun berada di halaman rumah.

"Kita pergi dengan basikal," katanya.

Saya lihat hanya ada sebuah basikal saja di bawah rumah. Mana mungkin sebuah basikal dinaiki oleh tiga orang. Saya terasa lucu dan mahu ketawa sendirian. Tetapi, saya tidak berani mahu ketawa, takut ditengking oleh datuk.

"Satu basikal nak naik tiga orang," secara tidak sengaja terpancut kata-kata dari mulut saya.

"Ada basikal lain, kau ikut aku ke rumah adik aku, kita pinjam basikalnya," Pak Imam menyelesaikan masalah yang menghuni otak saya. Tanpa banyak cakap, saya ikut langkahnya menuju ke rumah papan berbumbung lima yang letaknya tidak berapa jauh dari rumahnya.

Sampai di rumah tersebut, Pak Imam terus memanggil adiknya.

"Ayah dah pergi ke Tanjung," terdengar suara perempuan. Hati saya mengelabah.

"Ada apa Tuk Ngah," datang lagi suara dari dalam rumah. Kali ini lebih mersik dan manja. Serentak dengan itu terdengar bunyi telapak kaki memijak papan lantai.

"Aku nak pinjam basikal ayah kamu kejap."

"Ambillah Tuk Ngah."

Suara itu datang dari tingkap sebelah kanan. Biji mata saya tertumpu ke situ. Oh! Tuhan, inilah gadis yang saya temui tadi. Wajahnya lebih mempersonakan tanpa kain kelubung. Saya terpaku tanpa berkata apa-apa.

Pak Imam masuk ke bawah rumah tarik basikal Raliegh keluar. Semuanya itu tidak menarik perhatian saya. Seluruh hati dan pancaindera yang satu ini, tidak berkedip merenung gadis yang berdiri di bibir tingkap. Sudah tidak memakai kain kelubung lagi. Rambutnya disikat rapi, dibelah tengah dan bahagian hujung diikat ala ekor kuda. Senyuman bertali-tali di bibir.

"Eh, kenapa tercegat di situ?"

Suara Pak Imam meninggi, saya tersentak dalam malu. Dia sudah berdiri di kanan saya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu saya bersuara:

"Ukiran di kerawang tingkap rumah ni cantik."

Pak Imam renung ke arah tingkap, si gadis berkulit putih merah sudah pun menghilangkan diri. Saya urut dada syukur kerana apa yang saya lakukan tidak dapat dikesan oleh Pak Imam.

"Tukang rumah Melayu yang buatnya, tentulah ada seninya," Pak Imam menjawab jujur. Dia menyerahkan basikal kepada saya.

"Kamu naik dengan datuk kamu."
Saya memeriksa brek basikal, tayar dan pemegang (handle) semuanya berada dalam keadaan yang baik. Tanpa banyak cakap saya sorong basikal ke arah rumah Pak Imam.

"Bagi tahu ayah kamu Masitah, Tuk Ngah pinjam basikalnya, petang Tuk Ngah hantar."
Saya terhenti dari menyorong basikal. Nama Masitah saya sebut beribu-ribu kali, saya sematkan dalam kalbu. Sudah tentu nama itu akan saya kenang sampai mati.

"Baiklah Tuk Ngah."
Sungguh mempersonakan suara dari Masitah. Tunggulah, petang nanti saya hantarkan basikal ayahmu, Masitah. Batin saya terus menyanyi.

PERJALANAN

Perjalanan ke rumah sahabat Suhaimi Keraba di Kampung Terang pun dimulakan. Pak Imam naik basikal tuanya. Saya dan datuk naik basikal ayah Masitah. Berbasikal di jalan raya yang di kiri kanannya terdapat pohon-pohon kelapa dan buah-buahan memang tidak terasa panas. Sambil kayuh basikal datuk dan Pak Imam terus berborak. Saya yang bertenggek di belakang hanya pasang telinga saja.

Bila ada kenderaan lalu, tidak kira samada besar atau kecil, datuk dan Pak Imam terpaksa ke tepi, kadang-kadang terbabas dan melanggar lopak dan batu. Punggung saya terasa sengal dan sakit, tetapi tidak berani protes. Saya akui yang Pak Imam amat popular di Balik Pulau. Buktinya, sepanjang perjalanan dia sering saja menerima salam dari orang yang berbasikal atau bermotosikal.

Setelah meninggalkan kawasan Pekan Genting (juga disebut Simpang Empat) badan saya mula berpeluh. Sebaik saja melintasi sebuah masjid, dalam jarak lima enam rantai kami berbelok ke kiri melalui jalan berpasir dalam kampung.

Kebanyakkan rumah di situ, pintu dan tingkapnya tertutup rapat. Barangkali para penghuninya mencari rezeki. Selesai saja menempuh jalan kampung, kami terpaksa berbasikal di atas batas sawah.

Dan kami pun sampai di sebuah rumah papan yang tiangnya dibuat dari kayu bulat. Dindingnya dari papan tidak berketam. Pintunya sebelah papan dan sebelah lagi anyaman buluh. Rumah itu terletak di pinggir sawah. Disebelah kanan rumah ada pokok macang (bacang) besar di bahagian belakang rumah ada pokok jejawi yang besarnya lebih dari sepemeluk. Akar-akar berjuntaian dari dahannya.

Sebaik saja basikal disandarkan pada pokok kelapa gading, saya terscium bau kemenyan. Langsir tingkap yang dibuat dari kain hitam nipis, nampak bergerak-gerak ditiup angin. Tidak jauh dari pangkal pokok kelapa gading terdapat seekor kucing hitam dengan sepasang mata yang agak kemerah-merahan merenung tajam ke arah kami. Kucing hitam itu menguap, memperlihatkan lidahnya yang merah bersama susunan giginya yang tajam.

Tiba-tiba saya terasa seram bila melihat beberapa ekor gagak berlompatan didahan mempelam sambil berbunyi. Keadaan di bawah rumah tidak tersusun, penuh dengan sawang dan sarang labah. Suasana sekitar rumah mengundang rasa takut. Walaupun matahari bersinar tetapi saya merasakan keadaan di pinggir sawah itu terasa lembab dan muram.
Datuk dan Pak Imam menuju ke kaki tangga, saya mengekori dari belakang. Dengan suara yang lantang Pak Imam memberi salam.

"Waalaikomussalam."

Terdengar jawapan dari dalam rumah. serentak dengan itu sebelah pintu yang dibuat dari anyaman buluh terbuka. Manakala sebelah lagi yang dibuat dari papan tetap tidak bergerak.

"Naiklah."

Saya segera dongak ke pintu. Seorang lelaki bertubuh tegap, berkain sarung dengan baju Melayu teluk belanga berdiri di situ. Lelaki yang berkulit cerah itu menyimpan janggut dan jambang. Tetapi, misainya sudah putih benar. Dalam sekelip mata lelaki itu menghilangkan diri.

Pak Imam orang pertama naik ke rumah diikuti oleh datuk. Saya orang yang terakhir. Waktu saya mahu melangkah bendul, saya toleh ke pangkal tangga. Di situ saya lihat ada lingkaran ular hitam dengan kepalanya terhulur keluar. Anehnya, masa saya berdiri di situ sebentar tadi, ular hitam itu tidak kelihatan. Pemilik rumah mendekati Pak Imam.

"Nak tengok kawan saya yang salah langkah?" tanyanya.

"Ya," angguk Pak Imam bersama senyum.

"Yang berdua ni siapa? Kawan atau keluarga?" tambah pemilik rumah sambil merenung ke arah datuk dan saya.

"Kawan saya," balas Pak Imam.

Pemilik rumah memusingkan badannya ke kanan. Wajahnya dengan wajah datuk berdepan. Dia hulur tangan dan datuk terus sambut.

"Saya Haji Taslim Singasari," katanya sambil mendekatkan mulutnya ke telinga datuk.

Saya yakin ada sesuatu yang dibisikkannya ke telinga datuk. Pasti dia membawa khabar gembira, kerana datuk tersenyum dan menganggukkan kepala. Apakah rahsia mereka berdua? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

"Mari masuk ke bilik, kawan yang malang tu ada di sini."

Kami pun mengekori langkah Haji Taslim Singasari masuk ke bilik yang keadaannya saya kira agak ganjil kerana dalam rumah papan terdapat bilik yang dibuat dari buluh. Malah lantai bilik juga dilapisi dengan buluh.

"Duduk," ujar Haji Taslim Singasari. Tanpa banyak cerita kami pun duduk, "Sudah puas saya nasihat tapi dia tak mahu dengar, inilah akibatnya," sambung Haji Taslim Singsari. Kami hanya anggukkan kepala saja.

Di depan kami ada peti yang dibuat dari papan, panjangnya kira-kira enam kaki dan tingginya hampir dua kaki. Setiap penyambung atau sendi peti itu ditaruh ensel. Di bahagian atasnya dibuat selak yang boleh dikunci, dan peti itu ditutup dengan kain dua warna iaitu kuning hitam.

Dari dalam peti saya terdengar seperti suara orang mengerang dan sesekali macam bunyi suara kucing dan anjing menyalak.

Tiap sudut bilik ada dupa yang mengeluarkan asap kemenyan. Saya juga terlihat senaskah Quran di atas bantal di samping senaskah surah Yasin.

"Sepanjang malam saya membaca Quran dan pagi tadi saya mula baca Yasin, semoga dirinya biarlah selamat. Tetapi, saya selalu diganggu oleh pelbagai jenis binatang seperti harimau, ular dan macam-macam lagi," jelas Haji Taslim Singasari. "Kalau tidak memikirkan yang dirinya sahabat karib, semuanya ni tidak saya buat," sambung Haji Taslim Singasari seperti menyesali diri sendiri.

"Cuba buka saya nak tengok keadaannya," pinta datuk. Haji Taslim Singasari tidak membantah. Dia rapat ke peti yang sudah dicat warna putih. Kain penutup dua warna pun dibuka. Saya mula terhidu bau masam dan lapuk tetapi, mata saya tetap tertumpu ke arah peti. Begitu juga dengan mata datuk dan Pak Imam. Haji Taslim Singasari membuka selak peti. Dinding peti di sebelah kiri dan kanan jatuh atas lantai.

Sekujur tubuh manusia yang ditutup dengan kain kuning terlentang di depan kami.
Pak Imam menerpa ke depan dan bersedia mahu menyingkap kain yang menutup tubuh tersebut. Haji Taslim Singasari segera memegang tangan Pak Imam.

"Jangan, nanti awak terkejut. Duduklah, biar saya buat."

Pak Imam patuh dengan permintaan Haji Taslim Singasari. Kemudian dengan hati-hati Haji Taslim Singasari membuka kain penutup tubuh di depan kami hingga ke hujung kaki.

"Ya Allah," kata saya.

"Subhanallah," sambut datuk.

"Allah huakhbar," tingkah Pak Imam, buat seketika mulut kami ternganga.
Di depan kami, terlentang tubuh Suhaimi Keraba tercungap-cungap macam ikan kekurangan air. Separuh tubuhnya dari pusat hingga ke muka hitam legam macam arang, sukar untuk menentukan di mana letak mata, hidung dan telinganya.

Dari pusat ke kaki keadaannya elok sempurna. Saya juga malihat beberapa ekor belalang hitam terbang bebas dan hinggap di bahagian tubuh yang hitam.

"Kita mohon pada Allah supaya rohnya segera dikeluarkan dari tubuhnya, dia terlalu seksa," Pak Imam bersuara.

"Saya setuju," balas datuk.
"Kita baca Yasin," ujar Haji Taslim Singasari. Sebaik saja selesai bercakap, seekor harimau kumbang muncul dari arah bahagian kepala Suhaimi Keraba. Di bahagian kakinya pula muncul kucing hitam.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers