Pages

Tuesday, July 27, 2010

86. Lidahnya Keluar

KATAK aneh terus membesarkan badannya. Sama besarnya dengan raga rotan di sisinya. Suaranya garang dan menakutkan sesekali suaranya kedengaran seperti suara budak yang berumur enam bulan menangis. Melihat keadaan yang tidak pernah saya lihat itu membuat saya ketakutan dan terus meninggalkan guru silat sendirian.

Saya terus memeluk tubuh datuk yang sedang membaca Quran. Entah apa malangnya diri saya. Datuk terus menolak hingga saya tersungkur di sisinya. Tanpa menghiraukan kesakitan yang saya tanggung, datuk terus membaca Quran tanpa mempedulikan tempias hujan yang sudah membasahi
sebahagian dari bajunya.

“Tolong, tolong katak serang aku.”

Suara guru silat bertempik dalam suasana gemuruh hujan dan angin malam yang amat hebat. Datuk merenung ke wajah saya sambil menutup Quran.

“Mari ikut aku, tengok apa yang jadi,” datuk terus bangun dan melangkah menuju ke ruang dapur. Tanpa banyak cakap saya menurut saja.

“Ya Allah, apa dah jadi,” kata saya dengan kedua belah kepala lutut menggigil. Biji mata saya terbeliak merenung ke arah guru silat yang terlentang di lantai. Mukanya terdapat kesan-kesan air kental yang berbuih. Selalunya air seperti itu hanya terdapat dari mulut katak. Guru silat menggolek ke kiri dan ke kanan macam orang kesakitan.

“Jangan pegang dia,” datuk melarang bila saya mahu menjamah bahu kiri guru silat. Saya terlihat bahagian depan baju guru silat terkoyak dan ada kesan kena cakar tapi, anehnya, bahagian yang kena cakar itu tidak mengeluarkan darah. Daging dan tulang dada guru silat jelas kelihatan.

“Kita mesti tolong dia tuk.”

“Biarkan di situ, dia sebenarnya tidak apa-apa, curna penglihatan kita saja yang nampak dirinya teruk.”

“Tapi, ini bukan main-main tuk.”

“Eb, Tamar kamu faham cakap aku tak?” Datuk terus memekik dan darah saya tersirap. Rupanya tindakan saya memanaskan darah datuk yang dingin di malam yang gemuruh dengan hujan, petir dan halilintar.

“Mana raga burungnya Tamar?” Tanya datuk.

“Itu,” jari telunjuk saya tertuju ke arah raga buluh di tepi tiang seri. Datuk terus menuju ke situ sambil menarik lengan kanan saya.

“Kau tengok, apa yang ada di dalam Tamar.”

Saya jenguk ke dalam raga. Apa yang menakjubkan hati dan perasaan saya bila terlihat burung puyuh duduk di tengah raga buluh dabm keadaan kesejukan. Matanya merenung lembut pada saya seolah-olah minta dikasihani.

“Apa yang kamu nampak di dalamnya Tamar?”

“Burung puyuh, tuk”

“Jadi, kau tak nampak katak? Bukan begitu Tamar.”

“Ya, tuk,” saya anggukkan kepala.

Saya mula merenung ke setiap sudut dapur, mencari katak aneh yang tidak diundang. Usaha saya tidak berhasil tetapi, saya masih dapat melihat kesan air liur katak yang melekat di lantai. Apa yang telah saya alami bersama guru silat sebentar tadi, saya ceritakan pada datuk.

Panas juga hati saya melihat sikap datuk. Dia seperti tidak kisah dengan apa yang saya katakan. Datuk seolah-olah menganggap apa yang saya sampaikan padanya satu cerita dongeng yang tidak wujud. Datuk lagi sekali mendekati raga rotan yang berisi burung puyuh. Kali ini, dia bertindak di luar apa yang saya fikirkan.

Datuk terus menangkap burung puyuh. Diangkat tinggi-tinggi melepasi kepalanya. Kemudian disusupnya ke celah kangkang sebanyak tiga kali berturut. Akhirnya,kepala burung puyuh diludah lima kali berturut-turut. Datuk terus mendekati tingkap. Berdiri di situ dalam rimbasan tempias hujan yang menggila, lampu dalam rumah terus padam.

Kilat terus mencabar dengan hebatnya. Dari pancaran cahaya kilat itu, saya dapat melihat wajah datuk yang serius, rambutnya agak mengerbang disentuh angin malam menggila. Bersama pancaran kilat dan tempias hujan serta hembusan angin, datuk mencampakkan burung puyuh keluar. Sebaik sahaja burung puyuh itu terlepas dari tangannya terdengar bunyi petir yang amat kuat, dituruti dengan bunyi suara orang ketawa dan menangis memanjang.

“Mana katak sial, biar aku lanyak sampai mampus,” guru silat terus bangun. Calar di wajah dan dadanya terus hilang. Bajunya yang koyak dibabagian dada sudah bercantum kembali. Lampu yang padam menyala semula.

“Bersabar, jangan turutkan perasaan,” datuk menenangkan perasaan guru silat. Saya menghela nafas panjang. Datuk mengajak guru silat duduk di ruang tengah rumah.

“Duduk di sini, kita ikhtiar untuk menyelesaikan semuanya,” tambah datuk. Guru silat terus anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang dikatakan oleh datuk.

Hujan lebat, petir dan halilintar mula berkurangan tetapi rasa dingin tetap menguasai diri saya. Datuk memperkemaskan silanya. Datuk menyuruh saya merapatkan semua tingkap yang terbuka. Perintahnya, saya patuhi dengan perasaan cemas dan takut.

Megah juga rasa hati, bila semua daun tingkap berhasil saya rapatkan dengan baiknya. Saya terus mendekati datuk dan guru silat. Bersila macam mereka.

“Belum pernah saya mengalami perkara macam ini,” ujar guru silat. Matanya liar merenung ke kiri dan ke kanan.

“Ini juga satu pengalaman dalaxn hidup kamu.”

“Saya faham. Apa yang patut kita buat."

“Tak ada apa yang patut kita buat sekarang kita tidur dan lupakan semua yang terjadi.”

“Haaaaaaaa,” mulut guru silat terlopong dengan rasa cemas. Datuk tersenyum panjang.

Keadaan yang agak tenang itu berkocak kembali, diganggu oleh tendangan yang kuat. Bomoh tua terpacak di ambang pintu. Tidak terdapat kesan air hujan di pakaiannya meskipun hujan turun dengan lebat. Kedatangan bomoh tua yang tidak diduga itu mencemaskan perasaan kami.

“Ada apa hal datang waktu begini?” Soal datuk.

“Mencari burung puyuh saya yang hilang.” jawabnya.

“Burung puyuh?” Ulang guru silat dan bersedia untuk menyambung kata-katanya kembali tetapi, tidak diteruskan kerana datuk mengenyitkan mata ke arahnya dua kali berturut-turut.

“Kami tak nampak burung tu di sini,” datuk memberikan jawapan. Terbayang keraguan dan kesangsian di wajah bomoh tua. Tanpa mengucapkan sesuatu bomoh tua terus meninggalkan kami sambil menjeling ke arah daun pintu yang terkopak. Tugas membaiki pintu yang terkopak dilakukan oleh guru silat.

“Pelik juga saya memikirkan apa yang terjadi,” rungut guru silat. Datuk tidak memberikan sebarang pendapat berhubung dengan rungutan yang diluahkan oleh guru silat. Datuk terus menyandarkan badannya ke dinding sambil mengedutkan dahi. Hujan dan petir terus berhenti sama sekali. Kokok ayam mula terdengar sayup-sayup. Saya terus merebahkan badan dan kelopak mata terasa amat berat.

Bila saja mahu terlelap, saya terdengar suara guru silat dalam keadaan yang cemas. Kelopak mata segera saya buka lebar-lebar. Datuk saya lihat mash tersandar di dinding dengan kedua belah kelopak matanya tertutup rapat. Saya renung ke arah guru silat.

Tanpa mengucapkan sesuatu, guru silat meluruskan telunjuknya pada benda yang tergantung di tulang bumbung rumah. Apa yang saya lihat ialah sekujur tubuh manusia tergantung di situ dengan tali terjerut di lehernya. Saya lihat kaki orang yang tergantung itu bergerak-gerak, macam berjalan di awang-awangan. Bila saya renung ke mukanya, darah saya tersirap badan saya menggeletar.

Saya segera memejamkan mata, tidak sanggup saya melihat lidahnya yang terjelir keluar dengan sepasang biji matanya tersembul, bahagian mata hitamnya bagaikan mahu tercabut dan terbuai-buai sedangkan bahagian mata putihnya seperti melekat pada kedua belah pipinya. Sepasang tangannya bergerak ke kanan dan ke kiri.

Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya terdengar bunyi benda jatuh, bila saya buka kelopak mata dan melihat ke arah benda yang jatuh itu, saya terlihat orang yang tergantung sudah berada di lantai. Bangun perlahan-lahan seperti menerkam ke arah guru silat. Dan guru silat yang selama ini saya kagumi kehandalannya mengatur langkah dan buah silat ternyata tidak sanggup menentang makhluk yang menuju ke arahnya.

Guru silat terus cabut dan melanggar dinding rumah, dinding rumah terkopak dan guru silat tercampak ke tanah bersama jeritan yang memanjang di malam yang sudah mendekati waktu subuh. Anehnya, bila guru silat jatuh ke tanah, manusia yang terjatuh di lantai terus hilang. Saya sudah tidak terdaya mahu bergerak, saya cuba menjerit tetapi suara saya tidak keluar.

Dalam keadaan yang berhempas-pulas untuk mendekati datuk itu, saya lihat datuk terjaga sambil mengucap beberapa kali.

“Aku tertidur dan mimpi yang bukan-bukan,” kata datuk lalu menggesel-gesel kelopak matanya. Renung kiri, renung kanan mencari guru silat.

“Mana dia guru silat Tamar?”

“Terjun ke tanah ikut dinding.”

“Kenapa ikut dinding, bukankah pintu ada,” datuk segera merenung ke arah dinding yang terlopong. Saya hampir mahu ketawa melihat telatah datuk yang agak terkejut dengan peristiwa tersebut.

Terdengar suara guru silat mengeluh di tanah. Datuk dan saya segera mendapatkan guru silat yang menggeliat menahan kesakitan. Waktu saya dan datuk menghampiri guru silat, terdengar azan subuh. Langit subuh kelihatan cerah dan bersih.

“Kau luka?” Tanya datuk.

“Tak ada, cuma pangkal paha saya yang sakit.”

“Kenapa kamu pecahkan dinding?”

“Entah,” guru silat menjawab pendek dan terus membongkok dan meluruskan badannya beberapakali hingga mulutnya mengeluarkan sendawa yang panjang macam orang kekenyangan. Saya ketawa dengan telatahnya.

Dengan terjengkut-jengkut guru silat melangkah mengikut datuk menuju ke perigi mengambil air sembahyang. Setelah sembahyang subuh, datuk terus mandi embun dan guru silat membuka beberapa langkah bunga silat dengan tujuan untuk menguatkan tubuhnya.

WARUNG

Lebih kurang pukul tujuh pagi, kami bertiga menuju ke sebuah warung untuk sarapan. Datuk hanya minum kopi pekat dan sepotong pulut udang. Beberapa orang pelanggan yang datang ke warung menegur guru silat. Salah seorang lelaki menegurnya berbadan tegap. Berjambang tanpa misai.

“Dah banyak malam kau dudak di rumah lama, pesaka orang tua kamu, wah kamu memang berani,” ujar lelaki itu sambil menepuk bahunya. Guru silat ketawa kecil.

“Rumah orang tua sendiri, apa yang ditakutkan,” guru silat membalas cakap kawannya. Datuk dan saya berpandangan saya merasakan macam ada sesuatu rahsia yang tersembunyi di rumah yang kami duduk. Muka kawan guru silat saya renung.

“Kalau sampai tiga orang duduk di situ, tak hairanlah kalau kami tak mengalami apa-apa kejadian buruk,” tambah guru silat dengan nada suara separuh meninggi. Ekor matanya menjeling lembut ke arah saya dan datuk. Saya meraba pinggir bibir yang mulai dirayapi tunggul misai sulung.

Sambil meraba itu, saya membayangkan bila misai saya tumbuh dengan suburnya, akan saya bentuk menjadi misai yang menarik macam misai seniman P Ramlee yang berbentuk huruf M. Bila saya tersenyum, misai saya akan mengembang cantik. Pasti, ada orang yang memuji dan mengagumi misai milik saya itu. Saya senyum sendirian melayani angan-angan yang bermain dalam tempurung kepala.

“Kau hati-hatilah, rumah lama memang ada penunggu. Lebih-lebih lagi kalau rumah tu ada orang mati berdarah,” sambung kawan guru silat dan membunuh angan-angan yang berlegar-legar dalam kepala saya. Hati saya bertambah yakin pasti ada sesuatu yang luar biasa berlaku di rumah tersebut tetapi, guru silat sengaja tidak mahu menceritakan pada saya dan datuk.

Perbuatannya itu membuat saya kurang percaya dan yakin atas kebaikan yang diperlihatkannya pada saya dan datuk. Siapa tahu, guru silat yang kelihatan baik itu sebenarnya berniat kurang baik terhadap saya dan datuk. Mungkin ia mengundang saya dan datuk datang ke kampungnya untuk mengubat adik iparnya hanya sebagai alasan untuk memperdayakan kami.

“Aku nak tengok berapa lama kamu boleh duduk di rumah orang tua kamu,” kawan guru silat ketawa kecil.

“Dengan izin Allah, aku boleh duduk beberapa lama yang aku suka,” balas guru silat sambil merenung muka datuk.

“Cakap dia betul, kalau diizinkan Allah tidak ada yang ganggu kami,” cara mengejut datuk meningkah cakap guru silat. Saya lihat wajah kawan guru silat segera berubah.

Mungkin perubahan itu terjadi, kerana ia tidak menduga datuk yang sejak tadi membatu mahu ikut campur dalam percakapan di warung. Kawan-kawan si guru silat menanti wajah datuk sejenak, macam mencari sesuatu di wajah datuk.

“Mungkin, pak cik betul, mungkin tidak, kadang-kadang manusia selalu bercakap macam pak cik untuk menutup kelemahan diri sendiri, cuba berlagak berani dalam takut.” dengan tenang kawan guru silat meluahkan kata-kata yang saya kira agak keterlaluan untuk seorang tua seperti datuk.

Kagum juga saya melihat telatah datuk, tidak memperlihatkan rasa marah. Malah dengan sopan bahu kawan guru silat itu ditepuknya berkali-kali. Guru silat terus meughirup kopi dengan tenang tanpa mahu merenung ke arah pelanggan yang masuk ke warung kopi.

Entah mengapa, guru silat bertindak demikian. Kebanyakan pelanggan yang datang menegurnya dengan hormat tetapi tidak dijawabnya. Sesekali guru silat itu melepaskan keluhan kecil dengan wajah yang tidak damai.

“Semua orang di sini kenal saya, maklumlah kampung halaman sendiri,” guru silat seperti mengeluh dan kata-katanya itu sampai ke telinga kawannya.

“Itu kenyataan,” sahut kawannya. Guru silat mengedutkan keningnya. Muka kawannya ditatap lagi dengan sinai mata yang garang. Kawannya terus menghulurkan tangan sambil berkata:

“Maafkan aku kalau apa yang aku katakan tadi menyinggung perasaan kamu, aku tahu kamu tak suka kisah lama diungkit-ungkit kembali.”

“Ya, tapi aku tak terdaya menutup mulut orang.”

“Kau hadapilah semuanya dengan tenang, aku nak balik.”

“Nanti sebelah petang kalau ada masa aku datang ke rumah kamu,” kawannya terus menepuk bahunya dua kali berturut-turut. Dan kawannya meninggalkan warung.

Guru silat melihat dengan tenang ke arah motosikal yang terletak di tepi jalan. Guru silat melambaikan tangan ketika kawannya memandu motosikal ke arah pekan Bukit Mertajam. Bila motor kawannya hilang dari pandangan, guru silat segera merenung ke arah datuk.

“Macam mana, kalan kita balik,” guru silat mengajukan pertanyaan pada datuk. Saya segera minum sisa air kopi dalam cawan.

“Ya, kita balik” sahut datuk.

“Pak Achin, tolong kira berapa semuanya,” teriak guru silat pada pemilik warung. Pemilik warung segera menghampirinya.

“Seringgit lima kupang semuanya,” kata pemilik warung.

Guru silat keluarkan wang dan saku. Dengan senyum pemilik warung menerima wang tersebut. Mereka berjabat tangan sejenak.

“Jangan lupa esok datang lagi minum di sini.”

“lnsya-Allah, kalau panjang umur kami datang,” datuk menjawab. Pemilik warung tersengih sambil merenung ke muka guru silat.

“Apa rumah lama tu dah tak buat kacau lagi?” Pemilik warung mengajukan pertanyaan. Muka guru silat yang tadi dihiasi dengan senyum segera bertukar menjadi resah dan cemas.

“Tak ada perkara lain yang Pak Achin nak tanya?”

“Bukan apa-apa, cuma nak tahu aje.”

“Entah, saya tak tahu,” suara guru silat keras. Pemilik warung tercengang.

Guru silat segera menarik tangan datuk keluar dari warung. Saya terpaksa mengikut. Lebih kurang sepuluh rantai meninggalkan waning, datuk segera menyoal guru silat.

“Apa rahsia yang ada di rumah kamu?”

“Hum,” guru silat berhenti melangkah.

“Tak ada apa-apa,” katanya selamba.

“Mustahil, kalau tak ada apa-apa tentu orang tak menyebutnya, usahlah merahsiakan semuanya dari aku.” tambah datuk lagi. Guru silat merenung ke arah kiri jalan raya agak sepi dengan sebarang kenderaan.

“Bapa saudara saya...,” guru silat berhenti bercakap, “Kenapa dengan bapa saudara kamu?”

“Gantung diri di rumah tu.” guru silat membuka rahsia.

“Puncanya?” Datuk mendesak.

“Saya sendiri, tak tahu.”

Hati saya terasa lapang. Guru silat sudah menyelesaikan keraguan yang menyelubungi diri saya. Tetapi perasaan seram tetap menguasai hati kecil saya membuat saya enggan melangkah pulang ke rumah arwah orang tua guru silat. Datuk terus menggosok pangkal telinga kanannya sambil mengedutkan dahi.

“Jangan berhenti, terus jalan,” kata datuk bila melihat guru silat mahu memberhentikan langkahnya. Saya terus meraba pangkal kening yang mula ditumbuhi peluh-peluh halus. Matahari terus bersinar garang. Langit cerah dengan gumpal awan yang putih bersih.

“Saya tak suka mengingati semua yang terjadi tetapi, orang lain yang memaksa saya untuk mengingati semua kisah pahit itu.” sepasang kelopak mata guru silat bergerak lemah. Air mukanya membayangkan rasa kesal yang amat pahit.

“Sudahlah, usah fikirkan semuanya itu,” datuk terus memujuknya.

“Saya cuba melupakannya tetapi, bila ada peristiwa macam ini, hati saya terasa sakit.”

“Sabarlah,” tingkah datuk. Setelah itu perjalanan jadi rancak. Tidak ada perkara yang mahu diperkatakan. Masing-masing melayani perasaan yang bersarang di tempurung kepala.

“Kita tak usah balik ke rumah,” satu cadangan yang tidak diduga datang dari guru silat. Mengejutkan hati dan perasaan saya serta datuk.

“Habis kita nak ke mana?” Soal saya tanpa sabar.

“Ke rumah adik saya,” jawab guru silat secepat kilat.

“Bagus juga, kalau begitu aku setuju,” balas datuk.

Kami pun berbelok ke kanan menuju ke rumah adik guru silat. Sebaik saja, sampai dekat pokok ara besar. Bomoh tua muncul di depan kami. Wajahnya nampak cemas tetapi dipaksanya tersenyum. Muka kami ditentangnya sejenak. Direnung ke atas, ke bawah berkali-kali, bagaikan meragui diri kami.

“Nak kemana?” Bomoh tua bertanya sambil melipat lengan baju kanannya separas siku. Hujung seliparnya menekan rerumput hijau di gigi jalan.

“Kamu dipanggil untuk mengubatnya?” Bomoh tua mengajukan pertanyaan. Biji matanya menatap tubuh datuk dan atas ke bawah, dan bawah ke atas macam mencari sesuatu di tubuh datuk yang terpaku di depannya.

“Kami tak dipanggil. Sebagai abang saya mesti menengok adik ipar saya,” jelas guru silat.

“Bukankah adik ipar awak dalam jagaan saya.”

“Ya saya tahu,” guru silat angguk kepala.

“Kau tahu pantang-larangnya?”

“Apa pantang-larangnya?” Guru silat seperti terkejut.

“Kamu tak boleh tengok adik ipar waktu matahari belum condong.”

“Hum...,” guru silat seakan-akan mengeluh dan terus merenung muka datuk dan saya.

Dari kerutan di dahi datuk, saya dapat menduga rasa hairan dan terkejut bersarang dalam dadanya. Saya kira belum pernah datuk menemui dukun dan bomoh yang ada pantang-larang untuk melihat orang sakit. Datuk menentang biji mata bornoh tua dengan tepat.

“Tengok saudara sendiri pun tak boleh,” datuk mengecilkan mata kanan. Guru silat terus termenung, terkejut dengan pantang-larang yang tidak pernah difikirkannya selama ini.

“Berubat dengan saya, ikut syarat saya,” suara bomoh tua bertambah keras. Datuk terus mendekati guru silat. Mereka berbisik sejenak. Bomob tua kelihatañ resah.

“Biarlah, saya langgar syarat, saya nak tengok adik ipar saya,” ternyata kata-kata yang diucapkan oleh guru silat it menimbulkan semacam kemarahan pada bomoh tua. Mukanya jadi merah dan nafasnya tercungap-cungap, bila melihat datuk dan guru silat meneruskan perjalanan.

“Eh, nanti dulu,” jerit bomoh tua.

Laungannya tidak diperhiraukan. Kami terus melangkah dalam panas yang kian terik. Angin ketika itu, tidak terasa bertiup. Badan saya terus berpeluh.

“Eh nanti dulu,” pekik bomoh tua lagi.

Laungannya tidak kami pedulikan. Kami terus melangkah.

“Padah buruknya, adik ipar kamu yang terima,” kata-kata itu membuat guru silat berhenti melangkah lalu menoleh belakang merenung bomoh tua yang sedang membuka sepasang tangannya dengan lebar, macam burung membuka sayap.

“Jangan pedulikan, teruskan hajat kita,” bisik datuk pada guru silat.

“Tapi, saya bimbang.”

“Jangan bimbang, dia manusia biasa macam kita,” datuk memberikan semangat dan memaksa guru silat meneruskan langkah yang terhenti. Guru silat menurut saja arahan datuk.

Dua tiga kali saya mengesat peluh yang mercik di dahi begitu juga dengan datuk yang tidak putus-putus melurut rambut di pangkal telinga kanannya dengan tapak tangan kiri. Suara bomoh tua sudah tidak kedengaran lagi dan kami merasakan perjalanan terasa aman dan damai. Tidak ada gangguan dari sesiapa.

Saya merasa bertuah dalam cuaca yang terik itu, terasa hembusan angin menyentuh kulit muka. Rambut yang terjuntai atas dahi terbuai-buai. Kami memasuki sebuah lorong kecil yang di kiri kanannya ditumbuhi dengan pepohon senduduk yang merimbun. Dari kanan lorong saya terdengar bunyi sesuatu yang bergerak aras dedaun kening. Bila di renung tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat.

“Aduh,” jerit guru silat serentak dengan itu saya lihat guru silat terjatuh atas tanah. Saya jadi cemas tetapi, datuk bertindak cepat membangunkan guru silat serta memberi rawatan mengejut padanya.

Saya menjeling ke kanan sepasang kaki yang dibalut dengan seluar kelabu tegak kaku di depan saya. Dan bahagian atas lutut terdapat kain pelekat dua warna, putih dan biru dalam bentuk kotak kecil. Warna putih dalam kotak dikelilingj oleh garis-garis biru halus. Keadaan kain itu, seperti orang mengikat kain samping.

“Aku terpaksa bertindak untuk menjaga nama baik dan pantang-larang aku,” cepat-cepat saya dongakkan kepala. Mata saya dengan mata bomoh tua bertembung. Dengan tenang bomoh tua mengapit rokok daun ke bibir. Perlahan-lahan ia mengalih pandangan matanya pada guru silat.

“Kau jangan tunjuk pandai di sini,” bomoh tua seperti mengherdik datuk yang dalam keadaan terpinga-pinga.

“Apa salah dia tuk bomoh?” Tanya guru silat. Malang sungguh nasib guru silat, pertanyaan ikhlas dijawab dengan buah silat dari kanan tetapi, guru silat yang sudah bersedia terus membuang dan menepis buah silat dari bomoh tua. Tindakan itu memanaskan lagi hati bomoh tua yang memang sudah panas.

Mungkin, ia merasai dirinya tercabar. Bomoh tua terus membalas dengan pukulan buah silat yang kencang. Satu pergaduhan di bawah pancaran matahari pagi terjadi di depan mata saya dan datuk. Dua manusia yang memang handal dalam bidang mempertahankan diri bertarunng dengan hebat seolah-olah pertarungan itu tidak akan berhenti selagi salah seorang daripada yang bertarung itu rebah atau tewas.

“Ah,” jerit bomoh tua, serentak dengan itu rumput di kiri kanan lorong terus layu, macam terkena bahang api yang amat kuat. Guru silat masih dalam bentuk kekuda pertahanan silat yang cukup kejap. Siku kanannya rapat ke dada dengan genggaman penumbuk harimau jantan, manakala tangan kanannya ke depan dengan telapak tangan terkembang, macam ekor ikan menolak arus air.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers